Kembara Sufi

"pengemis CINTA ILLAHI, perindu SYAHID ABADI"

Pages

Friday 25 March 2011

Masyitah-Wangian Dari Syurga

 Semasa Rasulullah berisrak Mikraj,nabi lalu satu kawasan yang berbau sangat wangi. Lantas nabi bertanya kepada Jibrail mengapakah tempat itu berbau sangat wangi. Lalu Jibril memberitahu nabi bahawa mereka sedang melintasi kubur Masyitah.Kenapakah kubur insan bernama Masyitah ini sangat wangi?

Kisahnya begini, dakwah nabi Musa sampai kepada keluarga Masyitah, lalu Masyitah dan suaminya Hazaqil beriman kepada nabi Musa. Keimanannya ini disembunyikan lantaran pekerjaannya sebagai tukang sikat rambut anak Firaun dan suaminya pula orang kuat Firaun. Sebelum Firaun memutuskan apa-apa keputusan, Firaun akan meminta pendapat daripada Hazaqil dan ditakdirkan Allah, suatu hari seorang ahli sihir yang menyokong Firaun telah memeluk agama nabi Musa. Seraya Firaun pun menjatuhkan hukuman mati ke atasnya tetapi keputusan Firaun ini ditentang hebat oleh Hazaqil. Maka berlakulah satu perselisihan pendapat yang sangat besar sehingga keimanan Hazaqil terbongkar dan dia juga dijatuhkan hukuman mati.
Pemergian suami tercinta memberi tamparan hebat kepada Masyitah. Hari-harinya seperti sudah tiada makna lagi tapi disebabkan keimanannya kepada Allah, dia tempuhi hari-harinya dengan hati yang tersangat berat. Puas dia cuba menahan mulutnya daripada meluahkan isi hatinya kepada orang lain namun perkara hati siapa yang dapat tentang? Ditakdirkan Allah, setiap kedukaan dan kesedihannya itu dikongsi dengan Asiah, Isteri Firaun yang sangat disayangi Firaun. Sewaktu itu,Masyitah belum tahu bahawa Asiah juga beriman kepada Allah.
Huruf demi huruf, perkataan demi perkataan keluar daripada mulut Masyitah sehingga tiada lagi rahsia untuk dia simpan. Kisah dia beriman kepada Musa juga diceritakan. Sewaktu terlepas cakap, ada juga rasa gerun di hati tapi dia cuba untuk bertenang.Tapi rancangan Allah, siapa yang dapat duga? Asiah juga mengaku bahawa dia beriman kepada Allah.
“Aku mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah, Musa pesuruh Allah dan celakalah Firaun dan pengikut-pengikutnya.” Ujar Asiah.
“Tetapi, bukankah puan meniduri Firaun?” Soal Masyitah.
“Tidak, demi Allah, aku tidak pernah meniduri Firaun walaupun sekali. Apa yang kau lihat bukanlah aku tetapi jelmaan Iblis yang menyerupai aku,” terang Asiah.
Mendengarkan pengakuan daripada Asiah, Masyitah cukup gembira dan mereka menjadi teman rapat.
Suatu hari, ketika Masyitah sedang menyikat rambut anak Firaun hasil dari permaisuri yang lain, sikat yang dipegang Masyitah terjatuh. Secara tidak lansung Masyitah menyebut, “Segala puji bagi Allah dan celakalah Firaun.”
Anak Firaun mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Masyitah, lantas dia berlari ke arah Firaun dan melaporkannya. Firaun memanggil Masyitah dan menyoal Masyitah adakah benar apa yang dilaporkan oleh anaknya. Masyitah menjawab, “ya Tuanku,aku berkata sedemikian. ”Lalu Firaun menyuruh pengawalnya menyediakan satu bekas yang besar yang diisi dengan minyak dan bekas itu dipanaskan sehingga minyak itu mendidih.
Seluruh penduduk padang pasir dikumpulkan untuk menyaksikan kehebatan Firaun. Tatkala manusia semua berkumpul dan memberi perhatian kepada Masyitah yang berada di tengah-tengah, soalan diulang sekali lagi. Adakah Masyitah ingin menarik balik kata-katanya, jika tidak, dia dan 2 orang lagi anaknya yang masih di bawah susuannya akan dihumban ke dalam minyak yang menggelegak. Masyitah dengan tegasnya menyatakan pendiriannya untuk beriman kepada Musa dan Tuhannya. Namun, naluri keibuan diuji apabila dia melihat anak-anaknya yang masih kecil, terlintas juga di hatinya untuk menurut kata Firaun.
Allah mengetahui isi hati hamba-hambanya, lalu satu keajaiban besar pun berlaku. Anak yang masih kecil, yang masih di bawah susuannya pun berkata-kata,  “jangan bimbang ibuku kerana Allah telah menjanjikan kepada kita ganjaran yang hebat. Pintu syurga sedang terbuka luas menanti kedatangan kita.”
Mendengar butir-butir kata yang keluar daripada anak yang tidak boleh bercakap itu, Masyitah yakin dengan pendiriaannya. Dia berjalan maju ke hadapan dan terjun ke dalam minyak yang menggelegak. Seluruh penduduk Mesir menyaksikannya. Alangkah terkejutnya mereka apabila keajaiban kedua berlaku. Minyak yang menggelegak tadi bertukar menjadi haruman yang tersangat wangi di zaman itu. Itulah haruman Masyitah, si penagih cinta Ilahi.

Akhir Qalam
Sejarah bukanlah untuk diceritakan tetapi untuk dihayati supaya yang baik dapat diambil dan yang buruk dapat dijauhi.Kisah ini bukanlah satu kisah dongeng yang dicipta untuk menidurkan kanak-kanak tetapi kisah ini merupakan satu kisah yang nyata untuk kita dan kanak-kanak. Supaya iman di dalam hati digilap dan bersinar kembali.Harap-harap, kubur kita harum semerbak bak kubur Masyitah dan mahligai kita gah bak mahligai Asiah. Insya Allah…..

No comments:

Post a Comment