Kembara Sufi

"pengemis CINTA ILLAHI, perindu SYAHID ABADI"

Pages

Saturday 4 February 2012

Di Mana Hospital Rasulullah??


Ya Rasulullah
Sedih dan pilu mengenangkan
Disaat umat kehilangan dirimu yang mulia
Kau diberi pilihan untuk kekal di dunia
Namun kau tekad memilih
Untuk bersama Yang Esa
Dan mereka yang diberi nikmat
 
Ya Rasulullah
Tiada mungkin ku lupakan
Pesanan mu yang terakhir
Buat muslimin dan muslimat
Istiqamah dalam menunaikan solat
Istiqamah dalam menunaikan solat
 
Assalammualaikum…. Syukur Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk mencalit sedikit perkongsian. Umat Islam seluruh dunia menyambut Maulidurrasul yang semestinya memperingati kelahiran Rasulullah. Lirik lagu “kau Istimewa” menerpa gegendang telinga, mari sama-sama kita berelawat dan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Rasulullah adalah sebaik-baik utusan yang diutuskan oleh ALLAH S.W.T untuk menjadi contoh kepada hamba-hambaNya. Bagaimana Rasulullah menjaga kesihatannya tika zaman itu? Sungguh sekarang begitu banyak penyakit, kerana kita asyik mengikut apa kata orang barat. Mari kita renung dan dekati apa amalan Rasulullah.
 
Rasulullah saw adalah pemimpin yang cemerlang dalam berbagai bidang. Beliau adalah seorang ketua Negara yang bijak bersiasah, seorang mubaligh penuh hikmah, ketua tentera yang penuh strateji, ahli ibadah yang kusyuk, zahid yang menawan dunia, pakar menyelesaikan masalah masyarakat, perancang ekonomi dan sebagainya. Untuk menggambarkan keunggulan peribadi baginda melalui tulisan dan kata-kata samalah seperti ingin menuang air di lautan ke dalam sebuah gelas. Tidak akan dapat dipaparkan secara teliti dan terperinci!
 
Kita pernah membaca lembaran sejarah mengenai kaedah beliau melatih para da’i, ahli ekonomi, tentera-tentera, ulama, ahli fikir, tetapi jarang kita membaca beliau melatih doktor dan pakar perubatan. Kita tahu madrasah didikannya ialah masjid Nabawi tetapi di manakah letaknya pusat rawatan pesakit-pesakit di kalangan sahabat? Di manakah hospital Rasulullah? Dari kacamata pakar masyarakat dan ahli sosiologi hari ini, mungkin perkara ini dipandang sebagai satu kelemahan dan kekurangan. Pada anggapan mereka satu masyarakat yang maju dan bertamadun mestilah mempunyai ramai para doktor, jururawat dan bilangan hospital yang banyak. Malah taraf kesihatan sesebuah negara adalah diukur daripada kemampuan mereka mengadakan doktor dan membina banyak hospital. Lebih ramai doktor, lebih tinggilah taraf kesihatan sesebuah negara. Lebih banyak hospital lebih tinggilah taraf kemajuan sesebuah negara. Inilah anggapan mereka.
 
Anggapan di atas tidaklah tepat. Sebenarnya semakin ramai doktor dan semakin banyak hospital yang didirikan menunjukkan semakin ramai orang yang sakit. Apabila semakin ramai pesakit yang memerlukan rawatan, ini menunjukkan taraf kesihatan semakin rendah. Samalah keadaannya dengan semakin banyak penjara yang didirikan ertinya semakin ramai orang yang jahat.
 
Rasulullah saw diutuskan oleh Allah swt sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam. Oleh itu kesakitan dan kejahatan dengan sendirinya dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya oleh umatnya dengan rahmat yang dibawa oleh baginda. Ertinya, kedatangan Rasulullah saw dengan sendirinya dapat mengurangkan bilangan orang yang sakit dan dapat membaiki kejahatan manusia. Mungkin ada orang yang akan bertanya, “Adakah Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya tidak pernah sakit? “Sudah tentu kita menjawab bahawa sebagai manusia biasa mereka tidak dapat mengelakkan sunnatullah yang ditentukan bagi setiap manusia. Manusia akan selamanya ditimpa kesakitan, kesusahan, bencana alam dan kematian yang merupakan sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah dan ditukar-ganti. Jadi bagaimana Rasulullah saw mengubat penyakit? Dan kenapa baginda tidak membina hospital?
 
Inilah keistimewaan Rasulullah saw. Beliau boleh mengubat penyakit yang dihidapi oleh umatnya ketika itu tanpa sibuk-sibuk membuka hospital dan bersusah-payah melatih doktor-doktor. Tatapi ini bukan bererti baliau tidak mengambil perhatian tantang penyakit. Rasulullah saw bersabda”
 
“Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan juga ubatnya.”
 
Sabda baginda lagi:
“Setiap penyakit ada ubatnya, diketahui oleh orang yang berilmu, tidak diketahui oleh orang yang tidak berilmu, kecuali tua dan mati.”
 
Melalui dua hadis ini jelaslah bahawa Rasulullah saw mempunyai kaedah yang tersendiri untuk mengubat dan mengawal penyakit. Pendirian Rasulullah saw di bidang perubatan dapat dilihat sewaktu Hatib bin Batlaah (seorang sahabat) telah diutuskan menemui Muqauqis Maharaja Mesir. Utusan Rasulullah yang membawa risalah Islam itu telah disambut baik dan sebagai balasannya, Maharaja Mesir telah mengirim hadiah balas kepada Rasulullah saw. Hadiah itu merupakan beberapa orang wanita cantik, di antaranya ialah Mariatul Qibtiah, seorang doktor yang bijak mengubat penyakit dan bentuk-bentuk hadiah yang lain. Rasulullah saw menerima semua hadiah daripada Maharaja itu kecuali doktor yang dikembalikan semula, lantas baginda bersabda:
 
“Kami adalah umat yang makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kami kenyang.”
 
Inilah rahsia perubatan Rasulullah saw. Makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang yang merupakan langkah yang paling berkesan untuk mencegah dan mengawal penyakit sebelum diserang. Jelaslah Rasulullah saw telah mendahului pakar-pakar perubatan dalam mengamalkan prinsip iaitu mencegah adalah lebih baik dari mengubat.
 
Sabda Rasulullah saw ini diamalkan oleh baginda sendiri dan para sahabat. Dengan amalan ini mereka manjadi individu yang sihat dan mampu memikul beban perjuangan yang berat. Dari badan yang sihat inilah mereka dapat membina kecerdasan akal yang sangat penting untuk bertindak, berfikir dan merancang demi masa depan Islam. Akal yang cerdas lahir daripada badan yang sihat. Sebab itu Rasulullah saw sendiri pernah bersabda:
 
“orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada Mukmin yang lemah.”
 
Rasulullah saw juga bersabda:
“Berpuasalah kamu nescaya kamu menjadi sihat.”
 
Punca segala penyakit ialah daripada makan yang tidak diatur mengikut syariat dan terlalu berlebih-lebihan. Dengan berpantang dan berpuasa kesihatan dapat dikawal kerana perut dapat dijaga dari menerima terlalu banyak makanan dan makan makanan yang tidak sesuai.
 
Inilah salah satu hikmahnya mengapa Allah swt mewajibkan kita berpuasa di bulan Ramadhan dan berpuasa sunat paling kurang dua kali seminggu di bulan-bulan lain. Kesilapan kita hari ini apabila tiba pada waktu berbuka, seolah-olah melepaskan dendam pula dengan makanan yang beranika jenis, dengan lauk pauknya serta kueh dan lain-lain lagi. Hikmah dari berpuasa itu tadi sudah hilang berkatnya.
 
Menurut Islam, makanan yang sedikit adalah berfaedah untuk kesihatan tubuh badan dan mencegah penyakit. Punca penyakit ialah banyak makan dan apabila berlaku percampuran sisa-sisa makanan di dalam perut dan urat-urat. Kenyataan ini sebenarnya turut dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden hari ini. Penyakit berlebihan makanan adalah pembunuh utama manusia zaman
sains dan teknologi. Makanan yang tidak seimbang samada berlebih protin, lemak, kaborhidrat dan lain-lain dalam tubuh badan manusia, menyebabkan berbagai-bagai penyakit seperti lemah jangtung, darah tinggi, kencing manis, barah dan lain-lain. Sering saya dan rakan-rakan doktor yang lain menasihatkan pesakit, “Kurangkan makan gula” “Kurangkan makan yang berlemak dan berkrim.” “Jangan makan daging kerang terlalu banyak.” Sedangkan Rasulullah saw telah berpesan kepada umatnya jauh lebih lama dengan sabdanya:
 
“Perut yang berisi makanan adalah punca penyakit, berpantang itu ialah ubat. Biasakanlah setiap jasmani dengan apa yang telah menjadi kebiasaannya.”
 
Perkataan Rasulullah saw ini ternyata benar dan telah dicedok oleh pakar perubatan masa kini dalam mencegah penyakit.
 
Dunia hari ini meletakkan kebuluran sebagai masalah utama kerana ia telah membunuh jutaan manusia dari tahun ke tahun. Namun sebenarnya, makan berlebihan, lebih banyak membunuh manusia dari kebuluran. Di negara-negara kaya yang maju, penyakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis dan berbagai-bagai jenis, merupakan punca kematian yang paling lumrah dan berlaku setiap masa dan ketika. Ini bererti lebih ramai orang yang mati akibat banyak makan daripada yang kurang makan. Sepatutnya kita merasa kasihan kepada orang yang mati akibat terlalu banyak makan kerana mereka sebenarnya menganiayai diri mereka sendiri. Sedangkan orang yang mati kebuluran merupakan ujian Allah yang mempunyai hikmah tersembunyi dalam mendidik manusia agar ingat kepada-Nya. Dengan kata-kata yang lain, orang yang banyak makan sebenarnya menzalimi dirinya sendiri.
 
Kesihatan amat penting kepada seseorang muslim kerana sekiranya sakit, ini menghalangnya daripada beribadah dan menggugat ketenteraman hati dalam berzikir dan berfikir. Sebab itu berlapar dengan berpuasa adalah kunci utama yang digalakkan melakukannya demi mendapat tubuh badan yang sihat. Oleh kerana itu Islam telah mewajibkan berpuasa di bulan Ramadhan yang salah satu daripada hikmahnya ialah untuk menjaga kesihatan. Puasa sunat digalakkan dengan janji dan ganjaran yang tinggi di sisi Allah. Semakin banyak puasa yang diamalkan oleh sesuatu umat itu semakin kuatlah semangat dan kegigihan dalam perjuangan. Selagi Islam didukung oleh individu-individu yang banyak berpuasa, selagi itulah ia akan kuat dan berdaulat. Kelemahan umat Islam kini ialah kerana mereka cuai berpuasa yang wajib apalagi untuk mengamalkan puasa sunat.
 
Sementara itu membangunkan institusi perubatan secara berjemaah adalah termasuk bidang fardhu kifayah yang mesti dipikul bersama oleh umat Islam. Namun ini tidaklah bererti apa-apa jika umat Islam lebih mementingkan pengubatan setelah diserang penyakit daripada bertindak mencegahnya sebelum diserang.
 
Walau bagaimana, penyakit tidak dapat dielakkan dari menimpa manusia walaupun ia telah berpuasa, makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang dan mengamalkan sunnah Raulullah saw yang lainnya. Di dalam setiap penyakit yang ditimpa pada manusia ada rahmat atau bala bergantung kepada bagaimana pengidap menghadapinya. Nabi Muhammad saw bersabda:
 
“Bila seorang hamba jatuh sakit, Allah swt mengutuskan dua Malaikat. Telitilah apa yang dikatakan oleh pesakit itu kepada pengunjungnya! Kalau ia memuji Allah dan menyanjung Nya dengan baik, maka kedua Malaikat itupun berdoa untuknya. Kalau ia mengeluh dan berbicara yang buruk-buruk, kedua malaikat itupun mengucapkan: Semoga begitulah ia jadinya!”
 
Menurut Islam, penyakit mempunyai banyak hikmah yang mengandungi kebaikan. Dengannya seorang hamba akan dikurniakan pahala sabar yang tidak mungkin dicapai oleh orang yang sentiasa sihat. Nabi Muhammad saw bersabda:
 
“Bila Allah swt mengasihi seorang hamba, lalu ia diuji-Nya. Bila si hamba bersabar ia menjadi orang yang istimewa pada pandangan-Nya. Bila ia bersikap redha ia menjadi orang pilihan-Nya.”
 
Oleh kerana itulah ada di antara para Nabi, para sahabat Rasulullah dan para waliullah suka bila ditimpa penyakit kerana dengan itu mereka memperolehi pahala sabar. Mereka ini selalu menyembunyikan penyakitnya daripada pengetahuan umum dan juga kepada tabib. Penyakit itu dideritainya dengan rasa redha kepada ketetapan Allah, dengan penuh kesedaran bahawa ingatannya kepada Maha Besar (Allah) lebih menguasai hatinya yang tidak boleh digangu oleh sebarang penyakit kerana penyakit hanya menghalang anggotanya bukan hatinya!
 
Apabila zaid bin Tsabit mendengar rasulullah saw bersabda: “Demam sehari menjadi kifarat dosa setahun,” beliau pun berdoa kepada Allah agar selalu demam. Adalah diriwayatkan beliau (Zaid bin Tsabit) sentiasa tidak berpisah dengan demam sehinggalah akhir hayatnya.
 
Namun janganlah disalah-ertikan bahawa penyakit yang dihadapi oleh para sahabat menghalang mereka daripada beribadah dan berjuang di jalan Allah. Sayidina Ali Karamallahuwajhah membuka benteng Khaibar (peperangan dengan orang Yahudi) ketika matanya sakit, Saad bin Abi Waqqas menunggang kuda menuju medan pertempuran dengan tentera Parsi ketika punggungnya ditumbuhi bisul-bisul, Abu Ayub Al Ansari yang sakit tenat diusung ke medan perang sehingga jenazahnya dikebumikan di tepi benteng kota Konstantinopel, Amar bin Jamuh menuju medan Uhud dengan kakinya yang pincang dan ramai lagi para sahabat yang sanggup meneruskan perjuangan walaupun fizikalnya sakit.
 
Sakit juga dapat menanam rasa kehambaan terhadap Allah swt. Ini adalah sifat yang terpuji. Seorang manusia yang banyak berdosa tetapi mempunyai rasa kehambaan adalah lebih baik daripada seorang manusia yang banyak beribadah tetapi diiringi oleh rasa takbur dan sombong. Rasa sakit dapat mengingatkan seorang kepada Allah swt. Ia kembali berdoa dan berharap serta menyerah diri kepada Penciptanya. Sebaliknya seorang individu yang sentiasa sihat akan terdorong untuk lalai dan derhaka kepada Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:
 
“Sesungguhnya manusia akan derhaka bila dirasanya ia sanggup berdikari.”
 
Seorang ahli sufi pernah berkata, “Firaun tergamak berkata, “Dakulah Tuhan kamu yang Maha Tinggi,  “kerana ia sentiasa sihat dan kuat. Empat ratus tahun lamanya ia tidak pernah sakit walaupun sekadar demam, sakit kepala atau tersalah urat. Kalaulah ia ditakdirkan demam agak sehari, tentu hal itu akan merintangi dirinya dari bercakap besar apalagi untuk
mengaku dirinya sebagai Tuhan!
Atas dasar itulah, para solehin zaman dahulu merasa kurang senang bila setahun telah berlalu sedang mereka tidak pernah diuji dengan sakit. Mereka itulah yang berkata, “orang Mukmin tidak sunyi dari kejutan dan cubaan setiap empat puluh hari.”
 
Walaupun dasar perubatan Rasulullah saw ialah mencegah lebih baik dari mengubat tetapi ini tidaklah bererti Rasulullah saw tidak mempunyai kaedah untuk mengatasi penyakit yang telah dihidapi oleh seseorang. Kepada Sayidina Ali yang sedang sakit mata, Rasulullah saw bersabda, “jangan makan kurma yang masih muda, makanlah Siliq (sejenis sayur yang telah dimasak dengan tepung gandum). “Untuk menjaga peredaran darah baginda bersabda, “Berbekamlah pada 17, 19 dan 21 haribulan, agar darah kamu tidak melimpah berlebihan dan membinasakan.”
 
Pernah beberapa orang sahabat singgah di sebuah kampung dalam satu perjalanan. Kebetulan ketua kampong tersebut sedang sakit dan anak buahnya meminta pertolongan mereka untuk mengubatinya. Salah seorang sahabat Rasulullah bangkit dan menuju kepada ketua kampung itu. Sahabat-sahabat yang lain hairan kerana mereka tahu bahawa sahabat mereka itu bukanlah seorang tabib. Setelah beliau membaca sesuatu, ketua kampong itupun sembuh. Mereka pelik dan bertanya. “Apakah engkau ini tukang jampi?”
 
Beliau menjawab, “Aku hanya membaca Ummul kitab (Al Fatihah).”
 
Peristiwa ini disampaikan kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda, “Siapa tahu bahawa surah itu (Al Fatihah) adalah ubat?”
 
Peristiwa inilah yang menyebabkan para ulama besar berpendapat bahawa ayat-ayat Al Quran boleh dijadikan penawar kepada penyakit-penyakit. Ini berdasarkan firman Allah:
 
“Dan Kami turunkan dari Al Quran sesuatu yang menjadi ubat dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan bagi orang yang zalim tetap bertambah rugi.”
 
Pendapat ini kemudiannya dibenarkan oleh pengalaman hidup seharian. Banyak penyakit yang telah Berjaya disembuhkan hanya dengan doa-doa, ayat Quran dan selawat. Ini disebabkan di dalam ayat-ayat Quran terkandung rasa tauhid, penyerahan diri, sanjungan, pujian terhadap Allah swt. Sesungguhnya nama-nama Allah yang baik-baik (Asmaul Husna) dapat menghilangkan segala kejelekan dan mendatangkan segala kebaikan.
 
Angkara kederhakaan manusia telah menimbulkan banyak penyakit yang tidak terdengar apalagi dialami oleh generasi salafussoleh. Penyakit siplis, gonnorhea, AIDS dan bermacam-macam lagi penyakit kelamin adalah kehinaan yang ditimpakan oleh Allah swt kepada pelaku kemungkaran dan iktibar kepada orang yang beriman. Tidak ada gunanya kita memerah otak mencari penawar selagi manusia tetap tidak mahu tunduk kepada undang-undang Allah. Oleh sebab itulah tidak pernah kita dengar ubat atau penawar dari Rasulullah untuk penyakit ini kecuali sepotong ayat Al Quran yang pendek berbunyi, “Janganlah kamu hampiri zina!”
 
Penyakit tidak pernah menghalang manusia untuk terus beribadah sepertimana ia juga tidak pernah menghalang manusia untuk terus melakukan kemungkaran. Ia dapat dijadikan peringatan bagi orang yang mahu berfikir sementara orang yang degil akan terus dengan
kedegilannya. Rasulullah saw diutuskan untuk mendidik manusia agar mempunyai kekuatan jiwa, kecerdasan akal dan kesihatan badan. Dengan ketiga-tiga kekuatan ini mereka bangkit memperjuangkan Islam yang akhirnya menjadi “Super power” di atas muka bumi. Namun tidak pernah kita mendengar mereka membina hospital. Jika hati kecil kita bertanya, “Dimanakah hospital Rasulullah?”
 
Jawapannya, “Pada setiap diri yang mengamalkan Sunnah!”

No comments:

Post a Comment